Isnin, 29 April 2013

Ketaksaan Makna

Makna memainkan peranan penting dalam penyampaian maksud yang sebenar. Sepotong ayat dapat menerbitkan beberapa maksud yang tertentu bergantung kepada pengucapan yang dibuat. Ayat yang dapat menimbulkan pelbagai maksud dikatakan ayat yang mempunyai unsur ketaksaan. Apakah yang dimaksudkan dengan ketaksaan?

ketaksaan ialah perkataan yang mempunyai lebih daripada satu makna. Jika kita perhatikan ayat ini, ibu bapa Aminah telah meninggal dunia. Ayat tersebut mungkin membawa maksud ibu kepada bapa Aminah (nenek) telah meninggal dunia atau mungkin kedua-dua ibu bapa Aminah telah meninggal dunia. Bagi mengenal pasti perbezaan makna dalam ayat tersebut, kita perlu menyedari kewujudan dua jenis binaan ayat yang berbeza. Kita begitu mudah memahami maksud yang terkandung dalam ayat ini jika diucapkan dengan lagu bahasa (intonasi) yang berbeza bersesuaian dengan maksud yang hendak disampaikan. Jika kita meletakkan tekanan pada kata ibu, kemudian diikuti dengan jeda (hentian seketika), pastilah ayat ini menyatakan bahawa ibu kepada bapa Aminah (nenek Aminah) telah meninggal dunia. Sebaliknya jika tidak ada tekanan pada kata ibu dan tanpa jeda dalam pengucapan ayat tersebut,maka maksud yang terkandung dalam ayat tersebut ialah kedua-dua ibu bapa Aminah telah meninggal dunia, bukan neneknya.

Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, Taksa didefinisikan sebagai sesuatu yang mempunyai makna yang kabur, menyangsikan, meragukan, boleh menimbulkan lebih daripada satu makna atau tafsiran. Darwas Harahap (1994), menyatakan Taksa ialah ayat-ayat yang tidak pasti maknanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan