Khamis, 30 Mei 2013

Saat-saat terakhir

Selama tiga tahun bergelar pelajar Universiti, memang banyak kenangan, cerita suka dan duka, pengalaman pahit dan manis yang akan dikenang hingga ke akhir hayat. Hanya Tuhan saja yang tau hikmat atas setiap kejadian. Aku bersyukur kerana aku merupaka salah seorang insan yang diberi peluang meluaskan ilmu ke peringkat tinggi. Bukan hendak menunjukkan riak, namun aku tahu bukan mudah untuk sampai ke tahap ini.

Meniti saat-saat terakhir, menghabiskan sisa-sisa pengajian di semester 6 sebelum meneruskan agenda sebagai guru praktikal. Persediaan dari segi mental dan fizikal amat diperlukan untuk memantapkan lagi sese pengajaran nanti. Diharapkan segalanya dipermudahkan dan mendapat keberkatannya. Amin...

Isnin, 29 April 2013

Tayangan Video Drama Sosiolinguistik

Hampir tiga minggu menyiapkan tugasan berkumpulan subjek Sosiolinguistik, akhirnya sebuah video dapat dihasilkan dengan kerjasama setiap ahli kumpulan. Kami yang terdiri daripada lima orang ahli telah berjaya menghasilkan video iklan yang bertajuk 'Maaf'. Video iklan yang kami hasilkan tersebut dihasilkan atas idea yang disumbangkan oleh ahli kami sendiri. Dalam video tersebut, terdapat tiga situasi yang mana semua situasi tersebut berkaitan dengan tema yang kami tetapkan iaitu, maaf. Video yang dihasilkan akan dinilai dan merupakan pengaruh markah untuk subjek Sosiolinguistik Melayu.

Hari yang dijanjikan telah tiba iaitu Hari Tayangan Video Drama Sosiolinguistik. Pada hari tersebut, Tiga kumpulan Kuliah digabungkan dan dikehendaki menayang video yang telah dihasilkan oleh setiap kumpulan. tayangan yang bermula pada jam 2 berlangsung hampir empat jam. Pelbagai jenis video yang menarik telah dipersembahkan oleh setiap kumpulan dan video tersebut dinilai oleh pensyarah dan rakan-rakan dari kumpulan yang lain.

Bukan Itu yang dimaksudkan

Perumpamaan banyak digunakan dalam percakapan seharian kita yang mungkin kita sendiri tidak sedar perumpamaan yang kita gunakan berkait dengan apa yang ada disekeliling kita. Perumpamaan ialah kata-kata yang membawa makna tersurat dan tersirat. Perumpamaan banyak digunakan dalam masyarakat Melayu. Perumpamaan ini digunakan dengan pelbagai tujuan, antaranya untuk mengelak daripada menyinggung perasaan pendengar atau penutur lawannya. Perumpamaan ini digunakan untuk memberi teguran, nasihat dan merupakan kaedah sindiran secara halus. Oleh sebab itu, memang wajarlah penggunaan kata perumpamaan digunakan bagi mengelak pelbagai salah sangka yang akan timbul.

Contoh perumpamaan yang terdapat dalam bahasa Melayu:
1. Ada beras taruh dalam padi, ada ingat taruh dalam hati.
2. Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama.
3. Ular menyusur akar, tidak akan hilang bisanya.
4. Berjagung-jagung dahulu sementara padi masak.

Ketaksaan Makna

Makna memainkan peranan penting dalam penyampaian maksud yang sebenar. Sepotong ayat dapat menerbitkan beberapa maksud yang tertentu bergantung kepada pengucapan yang dibuat. Ayat yang dapat menimbulkan pelbagai maksud dikatakan ayat yang mempunyai unsur ketaksaan. Apakah yang dimaksudkan dengan ketaksaan?

ketaksaan ialah perkataan yang mempunyai lebih daripada satu makna. Jika kita perhatikan ayat ini, ibu bapa Aminah telah meninggal dunia. Ayat tersebut mungkin membawa maksud ibu kepada bapa Aminah (nenek) telah meninggal dunia atau mungkin kedua-dua ibu bapa Aminah telah meninggal dunia. Bagi mengenal pasti perbezaan makna dalam ayat tersebut, kita perlu menyedari kewujudan dua jenis binaan ayat yang berbeza. Kita begitu mudah memahami maksud yang terkandung dalam ayat ini jika diucapkan dengan lagu bahasa (intonasi) yang berbeza bersesuaian dengan maksud yang hendak disampaikan. Jika kita meletakkan tekanan pada kata ibu, kemudian diikuti dengan jeda (hentian seketika), pastilah ayat ini menyatakan bahawa ibu kepada bapa Aminah (nenek Aminah) telah meninggal dunia. Sebaliknya jika tidak ada tekanan pada kata ibu dan tanpa jeda dalam pengucapan ayat tersebut,maka maksud yang terkandung dalam ayat tersebut ialah kedua-dua ibu bapa Aminah telah meninggal dunia, bukan neneknya.

Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, Taksa didefinisikan sebagai sesuatu yang mempunyai makna yang kabur, menyangsikan, meragukan, boleh menimbulkan lebih daripada satu makna atau tafsiran. Darwas Harahap (1994), menyatakan Taksa ialah ayat-ayat yang tidak pasti maknanya.

Jumaat, 26 April 2013

Bahasa halus

Bahasa halus ialah bahasa yang lebih sopan dan lebih manis serta tidak menyinggung perasaan orang yang mendengar atau membaca. biasanya, bahasa halus disukai oleh semua orang. Dalam terjemahan, penterjemah boleh meninggalkan bahasa kasar dan menggantikan bahasa tersebut dengan bahasa yang lebih halus dan lebih diterima oleh khalayak sasaran. Bahasa kasar atau bahasa kesat ialah bahasa yang tidak sopan atau kurang beradab dalam pertuturan. Namun, remaja kini lebih banyak menggunakan bahasa kasar dan pertuturan sesama kawan atau teman. Walaupun bahasa yang digunakan tidak menyinggung perasaan kawannya, tetapi agak kurang manis bila didengar oleh orang yang lebih berusia daripadanya. Apatah lagi bila berkomunikasi dengan orang yang lebih berusia, adab dan sopan dalam percakapan hendaklah sentiasa dijaga. Lebih manis bila didengar.

Bahasa halus ialah bahasa yang lebih beradat, bersopan santun, dan berbudaya tinggi. Bahasa halus juga menggunakan kata ganti nama yang lengkap dan bersopan serta nada pengucapan yang rendah dan lembut dan menimbulkan kemesraan. Sesiapa sahaja akan lebih selesa berbicara dengan orang yang lebih santun pengucapannya berbanding orang yang suka bercakap menggunakan bahasa kasar.

Antara contoh bahasa kasar ialah 'berak'. Perkataan tersebut lebih halus jika ditukarkan kepada perkataan 'buang air besar'.

Isnin, 22 April 2013

Uniknya loghat kita

Assalamualaikum dan salam sejahtera pembuka bicara.

Bila berbicara tentang loghat, macam-macam loghat yang ada di Malaysia ni. loghat ini merupakan salah satu keunikan Malaysia selain budayanya yang penuh dengan adat dan santun. salah satunya ialah loghat negeri Kelantan. Kelantan merupakan sebuat negeri yang penuh dengan adat dan budayanya yang mampu menarik minat pelancong asing untuk datang melancong ke Malaysia. Loghat Kelantan amat berbeza dengan loghat Terengganu. tetapi, yang uniknya orang Kelantan boleh berkomunikasi dengan orang Terengganu dengan menggunakan loghat masing-masing. Menarik bukan? Ayuh kita mengenali loghat Kelantan.

Ada satu kisah, di sebuah sekolah di luar Kelantan. Ada seorang guru perempuan yang berasal  dari Kelantan. Hendak dijadikan cerita, suatu hari guru tersebut ternampak seekor ular di dalam stor sekolah tersebut. guru itu menjerit, " gi katok nuh, katok!!" salah seorang murid menjawab, "tu bukan katak la cikgu, tu ular." Setelah itu barulah guru tersebut tersedar bahwa dia telah menggunakan loghat yang munkin tidak dapat difahami oleh pelajar-pelajarnya. 'katok' yang dimaksudkan oleh guru tersebut ialah 'pukul'.
Dalam loghat Kelantan, ada banyak berkataan yang dikaitkan dengan makna pukul. antaranya gode, piat, cah keting dan teaa.

Antara perkataan lain yang terdapat dalam loghat Kelantan ialah:
Bokbong = spesis musang
Ttuyup = pepatung
Pok Kor = spesis mengkarung
Ike Kkhonge = ikan cencaru
Gelenyar,Gletah = mengenyam, gatal, getik
saksoba = Absorber
Supik Gelenyar/supik rhokrhak – plastik bag (yang nipis.)
mokte = rambutan
kuk/kok = sekeh
njja = tendang
tok cakno = tidak hirau
nyaknyo = kesian
bbaloh = kelahi
Ggaduh = nak cepat
debe = berani gilerr
Bekwoh = kenduri (mungkin berasal dari big work)
Tohok = buang
rhukah = panjat
Ghohok = susah, payah
hungga = lari
cuwoh = curah
getek/etek = juga
tepoh = langgar
tubik = keluar

Dalam loghat Kelantan juga terdapat kata penguat kepada sifat yang tersendiri, antaranya:
manis LLETING
masin PPEGHAK
pahit LLEPE
mase PPUGHIK
tawar EBER
putih SSUEH
hite LLEGE
biru KKETU
kuning NNEHE
kenye BBONYAH
comel LLOTE
gemuk DDEBOK
busuk BANGA
hapok KOHONG

Ada jugak perkataan yang diubahsuai daripada bahasa Inggeris seperti:
POZEK (deposit)=wang pendahuluan
RIZAT (1.result,2.reserved)=1.keputusan,2.simpanan
NNEJA (manager)=pengurus
ISTEK (estate)=ladang estet
SUWIH (switch)=suis
MERKET (market)=pasar
BOKK (book)=buku
rhoba (rubber)=pemadam


Biasanya perkataan yang berakhir dengan`an’,’ am’,’ang’ diganti dengan `e’. cth :
Jangan=jange
Lengan =lenge
ayam = aye
Geran = gere,
Pisang = pise
Malam = male

 SEKIAN...

Selasa, 16 April 2013

Dialek dalam lagu

ado sekor anok tupai atah jula mokte
kudung ekor perut lapa jale cari make

kejadie tuhe dipanggil namo tupa
asalnyo dale hute sejenis mamalia
kalu pasa jakik kut dehe diolah yang paling panda
jatuh jare-jare kerano dio tok soba

panda-pandai tupa nopat jatuh tanoh jugok
nok wi gambar ore jahat jange telajok manggok
ore jeme ritu nya pakat hambat tupai
bimbe ko buoh kayu takut tokdea besar

nyo, durie, duku kalu dea nya kerik tupai
pendek tahun tu nyo durie xdea nk jual.
ore kapung tupa seko perambat hari-hari
nya pakat likong nya pakat pekong tupai habis lari

sakat bedil ado, tupai habih mati
hok ni lah sayo raso kito sangat rugi
kito manusio
tinggi manopun kito ngaju
nok buat tupai sekor tetu skali doh tok jadi

loni kapong atau bandar jare buleh tengok
bapok tupai ibu tupai jale bowok anok

raso sie sungguh tengok sekor anok tupai
wak ko tlajok kuruh sapa tokleh niti pagar
bulu-bulupun habih luruh, air mato bera-bera
mari dale baruh bekali keno racun tebaka.

Lirik di atas merupakan salah satu lagu dikir barat yang terkenal di negeri Kelantan. Tidak semua masyarakat yang memahami bait-bait lirik tersebut melainkan masyarakat Kelantan sendiri. Jadi, tidak salah sekiranya kita mempelajari dan memahami dialek masyarakat lain.






Makna Sebenar

Berbual dengan rakan lama yang telah lama tidak berhubung membuatkan banyak topik menjadi bahan perbualan, tidak kira sama ada topik kesihatan, perhubungan mahupun keluarga. namun, sudah menjadi kebiasaan, apabila memulakan perbualan pasti sapaan dan perkhabaran dibualkan dahulu. "apa khabar sekarang?" , "buat apa sekarang?" , "kamu dah kahwin?". Tersebut merupakan antara soalan lazim yang akan ditanya oleh rakan.
  Entri yang ke sekian kalinya ini saya ingin membicarakan tentang kesalahfahaman makna yang disampaikan oleh salah seorang rakan saya dalam satu perbualan di laman sosial.

    "fiza, lama tak nampak kamu. Apa Khabar?"

    " Sihat Alhamdulillah lagi setakat ini. Syukur... awak sihat?"

    " Sihat, tapi tak boleh sihat sangat. Nanti awek tak suka."

haaa... perkataan 'sihat' itu yang sebenarnya menjadi isu.'Sihat' yang dimaksudkan oleh rakan saya itu bukan dari segi kesihatan tetapi saiz badan. Maksudnya kalau dia bertubuh gemuk, teman wanitanya tidak suka.

Kita boleh kaitkan perkataan 'sihat' tersebut dalam konteks komponen makna. Makna 'sihat' juga boleh membawa kepada pelbagai maksud. Dalam bahasa Melayu hal ini disebut sebagai homonim.

Berdasarkan definisi Kamus Dewan Edisi Keempat (2007) homonim ialah perkataan yang sama bunyi dan ejaannya tetapi mempunyai makna yang berlainan. Abdullah Hassan dan Ainon Mohd. (1994) pula mentakrifkan homonim sebagai yang sama bunyi dan ejaannya tetapi mengandungi makna yang berbeza.

Selasa, 2 April 2013

Stereotaip

Dalam menjalani kehidupan seharian, mesti ada sahaja perkara yang kita kaitkankan dengan keadaan yang ada di sekeliling kita. kita selalu menilai sesuatu perkara yang kadang-kadang salah dan bertentangan dengan penilaian yang kita buat. contohnya, apabila kita melihat seorang pelajar sekolah sedang panjat pagar sekolah dengan tujuan untuk ponteng, bermacam anggapan yang bermain dalam minda kita waktu itu bukan. Mungkin dia ada sebab tertentu dia melakukan hal yang sedemikian. Baiklah, di sini saya ingin mengaitkan kisah tersebut dengan tajuk entri saya untuk kali ini iaitu, stereotaip.

 Topik streotaip ini pernah dikemukakan dalam kuliah sosiolinguistik. stereotaip? apa itu stereotaip? ada yang pernah mendengar tentang istilah ini, dan ada juga sebaliknya. Ada yang pernah mendengar tetapi tidak pernah tahu maksud sebenar istilah itu. Samalah seperti saya, saya juga pernah mendengar istilah stereotaip tetapi tidak pula tahu dan ingin mengambil tahu tentang maksud istilah tersebut. Semasa dalam kuliah tersebut, pensyarah saya menjentik keluar elemen-elemen stereotaip. apa sebenarnya maksud stereotaip ni? Menurut wikipedia 'stereotaip' ini ialah satu tanggapan atau pemikiran yang ditetapkan terhadap sesetengah jenia orang atau benda tetapi sering kali tidak benar di dalam realiti.

 Kita sebagai manusia tidak terlepas daripada stereotaip ni, mungkin sebab sudah terbiasa dengan pemikiran sebegitu. pengarah filem khususnya filem melayu juga turut memasukkan unsur-unsusr stereotaip dalam cerita mereka. unsur ini mungkin membuatkan penonton akan gelak dan tertarik dengan cerita tersebut. contohnya, babak seorang lelaki berbadan gempal, gemuk dan buncit berganding dengan perempuan berbadan kecil seperti dalam cerita 'Cinta Luar Biasa'. penonton akan ketawa dan menimbulkan pelbagai stereotaip.

stereotaip dalam kehidupan akan sentiasa wujud sebab kita terlalu mudah menilai seseorang dari segi luaran sahaja. seharusnya kita perlu mengenalinya sebelum menilai. kenapa stereotaip ini boleh wujud? tepuk dada, tanya diri... ^____^
apa yang anda fikirkan bila tengok gambar ini? haaa.... ni stereotaip juga tau.

Isnin, 1 April 2013

panggilan manja

Nama timangan atau panggilan manja tidak asing lagi dalam kalangan ahli keluarga. Panggilan manja dalam kalangan ahli keluarga sebenarnya dapat mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan. Lazimnya, anak sulung akan dipanggil dengan gelaran manja Along, anak kedua sebagai angah, yang seterusnya achik, seterusnya alang dan si bongsu dengan panggilan adik. Berbeza dengan saya, walaupun hadir ke dunia sebagai anak kedua, namun tidak pula dipanggil dengan gelaran manja angah, atau kak ngah, tetapi mendapat gelaran 'kak nik'. Anak kedua sebagai kak nik? tidak la pelik sangat kan? hehe... pernah juga suatu ketika saya bertanyakan ibu tentang asalnya panggilan 'kak nik' tu. jawapan ibu, "panggilan 'kak nik' tu la menarik, lain dari yang lain." Memang betul, jarang sekali aku mendengar gelaran itu diberikan kepada anak yang kedua. Tidak kisah apapun gelaran yang diberikan oleh mereka, janji kita boleh buat mereka bahagia. Ada juga antara ibu bapa yang lebih suka menggunakan nama penuh sebagai nama panggilan. Kalau nama anaknya tidak panjang dan meleret-leret senangla, kalau panjang? jenuh juga hendak menyebut namanya. Sebenarnya terdapat banyak nama timangan yang digunakan dalam kalangan anggota keluaga antaranya pak long untuk bapa saudara yang sulung, pak ngah, pak lang, pak andak, pak usu dan lain lain lagi. Kalau di Kelantan, terdapat gelaran yang jarang didengar untuk panggilan bapa saudara bongsu iaitu 'pok'. Begitu juga dengan gelaran ibu saudara bongsu, mereka diberi gelaran 'mak dik'. Menarik bukan? Variasi dalam gelaran nama itu juga merupakan suatu keunikan yang tersendiri dalam organisasi kekeluargaan.     

Sabtu, 23 Mac 2013

Majlis Ilmu

Apabila berbicara tentang ilmu, pasti terasa ceteknya ilmu yang kita miliki. semakin kita menimba ilmu, semakin terserlah kekurangan ilmu kita. menghadiri majlis ilmu membuatkan kita semakin dekat denganNya.jiwa kita pasti akan kosong tanpa tarbiyyah Allah S.W.T. 20 mac 2013, satu forum bertajuk 'Hati ini milik siapa' telah diadakan di Auditorium UPSI anjuran Unit Kediaman Luar Kampus. tertarik kepada pena jemputan iaitu Ustazah Fatimah Sharha dan suaminya, Dr. Farhan Hadi menyebabkan hati ini terdetik untuk sama-sama menjamu hati yang kekurangan ilmu ini. sungguh lembut tutur bicara si pena wanita itu tatkala mengeluarkan hujah.

'Hati ini milik siapa'. tajuk ini bukan hanya berkisarkan tentang cinta dunia semata-mata, tetapi cinta pada yang Agung. Yang Maha penyayang. Tidak ada yang lebih agung berbanding cintaNya. pada pusingan pertama, pena wanita iaitu Ustazah Fatimah Sharha telah membuka hujah tentang definisi cinta yang hakiki. Cinta? Apa itu cinta? Cinta sebenarnya merupakan satu fitrah yang ada di dalam hati setiap manusia. Cinta wujud hasil daripada perasaan yang halus yang mewujudkan perasaan kasih sayang sesama manusia dan makhluk di dunia ini. bagaimanapun, cinta sering kali diperalatkan untuk melepaskan keghairahan nafsu yang menyebabkan berlaku pelbagai perkara yang merosakkan manusia dan membawa kepada kemaksiatan dan kehancuran umat terutama bagi golongan remaja yang terlalu taksub yang asyik dengan cinta tanpa ada penilaian dan pertimbangan akal fikiran yang waras.


Rasullullah S.A.W bersabda:
"Ya Allah, berilah aku rezeki cintamu dan cinta orang yang bermanfaat buatku cintanya di sisiMu. Ya Allah, segala yang engkau rezekikan untukku di antara yang aku cintai, jadikanlah itu kekuatanku untuk mendapatkan yang Engkau cintai. Ya Allah, apa yang Engkau singkirkan  di antara sesuatu yang engkau cintai, jadikan itu kebebasan untukku dalam segala hal yang engkau cintai."
                                                                   
                                                                                               (Hadis Riwayat Al-tirmidi)
 

Khamis, 14 Mac 2013

sweet





Perkara yang 'sweet' ialah ketika dua orang yang saling merindui, namun tidak berkomunikasi tetapi kedua-duanya mendoakan dalam sujud masing-masing agar "Jika aku miliknya, satukanlah hati kami kelak agar peroleh redhaMu."

Muhasabah Diri

Assalamualaikum pembuka segala bicara. Coretan di pagi hari tida apa yang hendak dikongsikan. Sekadar memenuhi ruangan entry di laman blog yang tidak seberapa ini. Sedang termenunng menongkat dagu melihat ke luar jendela mengagumi kebesaran Yang Maha Esa. Bersyukur ke hadrat Ilahi kerana masih lagi diberi nafas dan peluang untuk menikmati segala kenikmatan yang ada di dunia ini. Masih diberi peluang untuk memperbaiki diri. Kadang-kadang kita sedar akan kesilapan yang kita telah lakukan, tapi untuk pulang ke pangkal jalan langsung tidak diendahkan. Ada yang beralasan "ala, kita masih muda remaja, masih banyak masa untuk bertaubat. Enjoy dulu lah sepuasnya." ajal maut datang menjemput tidak mengira usia. Bertaubatlah sebelum diri tersasar jauh dari landasan iman yang benar. Saya bukan hendak menjadi ustazah atau penceramah tegar, tapi dengan niat memuhasabah diri sambil mengajak sahabat semua sama-sama mencari redha Allah SWT. "Eleh, nak tunjuk alim konon." bukan, bukan itu yang sebenarnya. Saya juga tahu saya juga hamba Allah yang serba kekurangan yang tidak lepas dari melakukan dosa. Dosa kecil mahupun dosa besar. Disebabkan kekhilafan itulah, saya ingin pulang ke pangkal jalan. Ingin menceritakan keburukan sendiri, itu satu keaiban. Jadi biar saya saja yang tahu apa yang telah saya lakukan. Tuhan itu maha pengampun. Oleh itu, marilah kita sama-sama memohon keampunanNya agar hidup kita lebih diredhai.

Wahai Hawa

Bukan mudah untuk memuaskan hati semua orang. Saat kita berbuat sesuatu perkara, ada yang suka dan ada juga yang sebaliknya. itulah lumrah manusia... ada saja yang tidak kena. Walau apapun yang kita lakukan, yang penting perkara itu disukai oleh Allah SWT. Tak kisah lah ada manusia yang tidak senang. Contohnya dalam segi perpakaian. Betapa ramai wanita hari ini ibarat "berpakaian tetapi telanjang". Bukan mahu mengutuk kaum wanita, saya pun tergolong dalam golongan wanita. Tapi apalah salah kiranya kita menutup aurat dengan sepatutnya, bukan membalut aurat kita yang sah-sah turut berdosa. Bukan tidak ada fesyen terkini yang betul- betul menutup aurat tapi kenapa fesyen barat juga yang menjadi ikutan? Malah ada dalam kalangan kita yang menjadikan artis barat sebagai idola. MasyaAllah... mana hilangnya sifat ketimuran kita bila budaya barat diagung- agungkan?


Cuba perhatikan gambar di atas. inikah yang dikatakan wanita muslim menutup aurat mengikut syariat yang ditetapkan? kenapalah kita sanggup menjadikan diri hamba fesyen yang langsung tidak kena dengan agama. Cantik, tapi jauh lebih cantik jika menutup aurat dengan sempurna. Wahai kaum hawa, jagalah keperibadian kita agar sentiasa terpelihara.

andai aku bukan di sini

Kalau dia bukan doktor sekarang nie, agak-agak die jadi apa ye? kalau dia bukan cikgu sekarang ni, agak- agak dia jadi ape ye? kalau dia tak kawin dengan si polan tu, agak-agak die kawin dengan siapa ye? Pernah tak timbul persoalan sebegini dalam diri anda semua? saya yakin ada di antara kalian semua yang pernah terfikirkan hal sebegini. walaupun kita tahu Tuhan telah aturkan hidup kita, namun ada sahaja keraguan yang menerpa. Itu sememangnya lumrah manusia. saya juga pernah merasainya. Pernah muncul di benak fikiran ini, andai saya bukan pelajar sekarang ini, adakah saya sudah bekerja? mampu menyara hidup sendiri tanpa bantuan keluarga? atau mungkin sudah berkeluarga? mempunyai anak 5? aduhhh... kuat benar berimaginasi. tapi benar, persoalan itu pernah muncul dalam benak fikiran saya.

Kalau hendak diimbas kembali diari hidup saya selama 23 tahun, saya sendiri tidak menyangka saya akan berada pada tahap ini, bergelar mahasiswi Universiti dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Pendidikan. Sungguh aku insan yang lemah, dalam kelemahan itu, saya hampir jatuh tersungkur. Tuhan Maha Kaya, Maha Pemurah. Dia sentiasa mendengar bait-bait doa hambanya yang lemah. Untuk berada sehingga tahap ini, banyak liku perlu saya tempuhi. walaupun liku itu bukan lautan berapi, atau lembah berduri, tapi bagi saya, hanya saya yang rasai. Ini cerita benar. Bukan rekaan atau sekadar cebisan bicara. Kegagalan dalam peperiksaan STPM telah menyebabkan saya sedikit kecewa. Niat meneruskan pelajaran terkubur seketika. Saat itu, saya tidak lagi memikirkan tentang kerjaya impian tetapi mencari kerja yang bersesuaian dengan tahap pencapaian.

Ketika itu ibu menjadi sumber kekuatan. Ibu memujuk saya supaya tidak putus harapan. Ibu menasihatkan saya supaya mengambil peperiksaan untuk kali yang ke dua. pada mulanya saya enggan berbuat demikian, namun memikirkan hidup yang masih panjang dengan saingan kerja pada hari mendatang, saya tekad untuk meneruskannya. berusaha untuk ke sekian kalinya. Berkat usaha dan kesungguhan serta doa yang tidak pernah putus dari insan yang bergelar ibu, akhirnya saya berjaya mendapat keputusan yang memberangsangkan walaupun tidaklah begitu cemerlang. Dengan keputusan tersebut, saya berjaya menempatkan diri meneruskan pengajian di peringkat Universiti. Benarlah, doa seorang ibu pasti dimakbulkan. Gagal sekali tidak bermakna kita akan gagal untuk kesekian kalinya. Usaha dan terus berusaha, pasti tidak sia- sia.

Rabu, 13 Mac 2013

Kuasa Duit

kerana duit, mereka berkuasa. kerana duit, mereka boleh beli apa saja. kerana duit, maksiat berleluasa.
kerana duit mereka rambang mata. kerana duit terlihat segala dosa. kerana duit mereka alpa. kerana duit mereka lupa ada yang lebih berkuasa iaitu Sang Pencipta. besar sungguh kuasa duit sehingga darah daging sendiri sanggup bermusuh dek kerana harta pusaka yang hanya sekangkang kera. besar benar kuasa duit, apabila ada pihak yang menggunakan kuasa demi kepentingan diri semata-mata. besar benar kuasa duit, apabila wanita sanggup menggadai maruah dan bergelumang dengan dosa semata-mata mahukan duit dan kesenagan dunia. mereka leka, mereka alpa, apakah mereka lupa duit bukan segala-gala untuk ke syurga? mencari rezeki yang halal itu lebih mulia. bahkan ia merupakan satu kewajipan setiap mukmin. di sinilah pentingnya keberkatan rezeki yang bakal menentukan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.

Khamis, 7 Mac 2013

hasrat bonda

Besar harapan seorang ibu terhadap anaknya. selain melihat anaknya membesar di depan mata, dia juga mahu anaknya menjadi insan yang berguna. tanpa seorang ibu, kita bukanlah siapa-siapa.
 
Abu Hurairah radhiallahu 'anh berkata:
 
Seorang lelaki datang menemui Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dan bertanya:
 
“Siapakah manusia yang paling berhak untuk aku layan dengan sebaik-baiknya?”
 
Baginda menjawab: “Ibu kamu.”
 
Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa?”
 
Baginda menjawab: “Ibu kamu.”
 
Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa?”
 
Baginda menjawab: “Ibu kamu.”
 
Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa?”
 
Baginda menjawab: “Ayah kamu.”
 
 
Seorang sahabat bernama Jahimah radhiallahu 'anh datang menemui Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam meminta pandangan baginda untuk dia ikut serta dalam ekspedisi Jihad.
 
Rasulullah bertanya: “Adakah kamu masih mempunyai ibu?
 
Jahimah menjawab: “Ya.
 
Lalu Rasulullah bersabda:
“Tinggallah bersamanya kerana sesungguhnya syurga terletak di bawah tapak kakinya."
 
 
Di antara ibu dan ayah, ibulah yang lebih berhak untuk menerima perhatian daripada seorang anak. Tidak sekadar itu, ibu memiliki hak tiga kali ganda lebih besar daripada seorang ayah sepertimana terbukti melalui hadis di atas. Syurga juga terletak di bawah kaki ibu, sebagaimana yang dijelaskan dalam hadis kedua di atas. Selain itu Allah Subhanahu wa Ta‘ala juga telah mengkhususkan beberapa ayat-Nya di dalam al-Qur’an untuk ibu. Ini tidak lain menunjukkan betapa besar dan mulia kedudukan ibu di sisi Allah dalam peranannya melahirkan anak dan membesarkannya. Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:
 
Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibubapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan). [Luqman 31:14]
 
Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibubapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. [al-Ahqaf 46:15]

Cerita Si Bongsu

seronok kah menjadi anak bongsu??? dari pandangan orang lain memang nampak seronok kan? sebabnya, anak bongsu ni lebih dikenali dengan sifat manja dan dimanjakan. memang sudah kebiasaannya anak bongsu ini akan diberikan hak yang sedikit istimewa berbanding kakak-kakak atau abang-abangnya. saya pun pernah menjadi bongsu suatu ketika dahulu. tapi tak lama. setahun kemudian saya dapat adik lagi. 'Title' bongsu terpaksa digugurkan. masa tu, rasa macam nk masuk semula dalam perut ibu, lepas tu keluar balik. boleh jadi anak bongsu balik.. kan...? tapi tak mungkin. Melihat penderitaan ibu melahirkan seorang anak, sangat perit. bayangkanlah "nyawa di hujung rambut'.tapi ibu ni tabahkan. Ibu perjuangkan nyawanya demi melihat anak yang dikandung selama 9 bulan lahir dan membesar di depan mata dengan selamat. mengingat tentang itu, hasrat untuk masuk semula dalam perut ibu dibatalkan (hanya sandiwara semata-mata). Hehe.. baiklah, berbalik kepada cerita anak bongsu itu tadi. berapa ramai yang menganggap anak bongsu ni manja? sebenarnya tidak semua anak bongsu ni berpewatakan manja dan sensitif. bukan mahu bela si bongsu, tapi hakikatnya begitu. tidak semua si bongsu ni manja dan mengada-ngada. saya ada sahabat yang juga merupakan anak bongsu (identiti dirahsiakan). perwatakannya langsung tidak menggambarkan bahawa dia anak bongsu. dengan kematangannya, ketabahannya, cara pergaulannya sangat menunjukkan sikapnya yang dewasa. Pandai memasak. sangat sedap masakan yang dimasak olehnya. dah macam chef tau. jadi, mana yang dikatakan anak bongsu tu manja dan tidak tahu membuat kerja?. Memang tidak dinafikan ada sesetengahnya manja. tapi tidak semua yang begitu. contohnya seperti sahabat saya itu lah. kemanjaannya ditenggelamkan oleh sifatnya yang dewasa.


Selasa, 5 Mac 2013

Dialek

Malaysia. siapa tak kenal kan. Negara yang penuh dengan adab ketimuran, sopan santun dan berbilang kaum. keunikan budaya masyarakat Malaysia juga ditunjukkan oleh pelbagai variasi berbahasa. bahasa merujuk kepada satu cara berkomunikasi. terdapat pelbagai dialek dalam bahasa Melayu antaranya dialek Kelantan, dialek Kedah, dialek Negeri Sembilan dan dialek Terengganu. Unik bukan? walaupun tinggal dalam satu kelompok masyarakat yang sama, namun berbeza dari segi percakapan. Hal ini jelas dilihat apabila seseorang penutur dialek yang melanjutkan pelajaran ke Institut Pengajian Tinggi. Di Institut Pengajian Tinggi kita boleh nampak dengan jelas penutur dialek akan menggunakan dialeknya apabila bertemu dengan rakan yang berasal dari kelompok geografi yang sama. namun, mereka akan berbahasa melayu "standart" apabila berkomunikasi dengan orang sekeliling yang majoriti menggunakan bahasa melayu standart. 

baiklah, memandangkan saya berasal dari Pantai Timur dan merupakan penutur dialek Kelantan saya akan mengupas sedikit sebanyak tentang dialek Kelantan. Dialek Kelantan lebih erat pertaliannya dengan bahasa Melayu Patani, walaupun banyak perbezaan ciri- ciri fonetik antara bahasa Melayu patani dengan dialek, dan perpisahan negeri Kelantan dengan Wilayah utaranya bukanlah secara linguistik. perbezaan dialek mungkin disebabkan oleh tingkat sosial yang tidak sama peringkat umur yang berbeza atau pekerjaan yang berlainan.


 

 

Satu Pengajaran

Assalamualaikum pembuka segala bicara.

Baiklah, coretan untuk hari ini tidak banyak yang menarik. Sekadar berkongsi cerita. Setiap detik yang dilalui sepanjang hidup ini merupakan satu proses pembelajaran dan pengalaman. Bangun dari tidur yang lena, maka bermulalah episod baru. episod yang saya tidak pasti kesudahannya, sama ada gembira mahupun sebaliknya.

Kalau diikutkan jadual kuliah untuk hari ini, kelas saya bermula pada jam 8 pagi. Oleh kerana kelas awal hari ini, terpaksalah gagahkan diri untuk bangun awal. Memandangkan kelas pagi ini di kampus baru, saya dan lima orang lagi rakan hanya berjalan kaki untuk ke kelas kerana kami hanya tinggal berdekatan dengan kampus baru iaitu Kolej Ungku Omar (KUO). Lebih kurang jam 8 pagi kami sampai di kelas setelah mengambil masa selama 15minit untuk sampai. Tiba di hadapan pintu kelas, masing-masing saling berpandangan dan mula rasa hairan. Nak tahu kenapa? sebabnya ketika itu sudah jam 8 tapi masih tidak kelihatan pelajar lain yang sama-sama mengambil subjek tersebut. Yang paling hairannya, kelas tersebut gelap kerana lampu tidak dipasang seolah-olah kelas tidak digunakan.

Kami mula berasa ada sesuatu yang tidak kena. Salah seorang daripada rakan saya cuba menelefon seorang rakan yang lain yang turut mengikuti kelas tersebut. ternyata kelas pada pagi itu dibatalkan. tapi, makluman tentang pembatalan kelas tersebut telahpun diberitahu pada kelas sebelum ini iaitu minggu lepas. Hal ini menunjukkan kami tidak memberi perhatian yang sepenuhnya semasa pembelajaran. Pengajaran untuk hari ini ialah kita mesti memberikan tumpuan sepenuhnya semasa di dalam kelas...kalau tidak, haaaaaaaa... beginilah jadinya. :)
haaa.... Ni la pemegang watak untuk cerita hari ini... hehe

Khamis, 28 Februari 2013

Ahlan Wasahlan...

Assalamualaikum dan salam sejahtera... blog ini dihasilkan bagi memenuhi salah satu tugasan untuk subjek BML3073 Sosiolinguistik Melayu. Dengan terhasilnya blog ini, sedikit catatan pengalaman, luahan hati akn dikongsikan di sini. blog ini merupakan blog yang pertama yang telah saya hasilkan. bukan tidak berminat, tetapi kekangan waktu yang membataskan. hehe...